Kira-kira 600 orang dari empat buah kampung berhampiran Kampung Tanduo, dipindahkan ke Dewan Embara, dekat Lahad Datu susulan tindakan ofensif pasukan keselamatan menggempur kumpulan penceroboh dari Sulu pagi semalam. Empat kampung terbabit ialah Tanjung Labian, Tanagian, Sungai Bilis dan Lok Buani.
    
Ketua Masyarakat Kampung Tanjung Labian, Assafal Alian berkata mereka diarah oleh pasukan keselamatan supaya berpindah ke dewan itu sejak dua hari lepas dengan semua keperluan makanan disediakan, namun tidak dimaklumkan sehingga bila perlu berada di situ.
    
“Kami tiada masalah untuk tinggal di sini kerana yang penting keselamatan penduduk terjamin ketika operasi menggempur diadakan.
    
“Namun, kami amat berharap krisis pencerobohan di Kampung Tanduo dapat diselesaikan segera dan kami dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya kepada Bernama.
    
Suri rumah, Normisnah Ahmad dari Kampung Sungai Merah juga menyatakan harapan serupa agar krisis pencerobohan di Kampung Tanduo berakhir segera agar dia bersama keluarganya dapat pulang ke rumah secepat mungkin.
    
Beliau turut berharap supaya kemudahan perubatan untuk penduduk yang berpindah ke dewan itu ditingkatkan. Malaysiakini


Aktivis Filipina mengadakan protes di hadapan Kedutaan Malaysia di Makati City, Manila, mendesak supaya ditamatkan keganasan terhadap kumpulan bersenjata yang menyokong Kesultanan Sulu di Sabah.


Menurut laporan ANS-CBN News, mereka turut membakar gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden Filipina, Benigno Aquino III.
 
Kira-kira 100 penunjuk perasaan berkumpul di luar kedutaan pagi ini sejurus selepas pasukan keselamatan Malaysia mula menyerang Kampung Tanduo, Lahad Datu tempat tentera Kesultanan Sulu berkubu.
 
Penunjuk perasaan itu terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang berbeza. Sebahagian daripada penunjuk perasaan itu jelas menyokong Kesultanan Sulu, dengan menyifatkan tentera Sulu di Sabah sebagai “Syahid Tausug”.

Manakala yang lainnya mendesak kerajaan Filipina memulihkan tuntutan negara itu ke atas Sabah. Connie Bragas-Regalado, yang mengetuai kumpulan hak migran Filipina – Migrante –  memberitahu portal berita Filipina, Inquirer.net bahawa tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah adalah “benar-benar sah”.

 
Kumpulan itu beredar secara aman sebelum tengah hari, tetapi memberi amaran bahawa akan ada lebih banyak lagi protes. Kedutaan ditutup pagi ini. Kira-kira 50 anggota polis memantau protes tersebut. Malaysiakini


Kesultanan Sulu menafikan laporan akhbar Malaysia bahawa Azzimudie Kiram, yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu, telah terbunuh dalam serangan pasukan keselamatan Malaysia pagi ini.

Menurut InterAksyon.com, portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5, jurucakap kesultanan Abraham Idjirani telah bercakap dengan Azzimudie melalui telefon di hadapan pemberita semasa taklimat media di Manila petang ini.

“Datu Raja Muda (Azzimudie) dan para pengikutnya semua masih hidup,” Idjirani dipetik sebagai berkata.

Beliaumengumpamakan Azzimudie “seperti musang”, kerana dia sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mengelakkan pasukan keselamatan Malaysia.

Utusan Malaysia,
 dalam SMS berita petang ini, memetik sumber tentera sebagai berkata Azzimudie dipercayai telah terbunuh dalam serangan udara hari ini. Malaysiakini
Kenyataan penuh perdana menteri: Sejak pencerobohan oleh kumpulan bersenjata di Lahad Datu pada 12 Februai, kerajaan telah mengambil pendekatan untuk menyelesaikan konflik ini tanpa pertumpahan darah. Pihak polis telah mengadakan pertemuan dan rundingan dengan harapan penceroboh akan bersetuju keluar dengan aman  tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang yang serius.
  
Semakin lama pencerobohan ini berlanjutan, jelas kepada pihak berkuasa bahawa penceroboh tidak berniat untuk keluar dari tanah Sabah. Pada hari Jumaat lepas mereka telah melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang bertugas di kawasan tersebut menyebabkan dua anggota kita terbunuh, sehari kemudian enam lagi anggota polis dibunuh oleh penceroboh di Semporna.
  
Setelah serangan yang pertama, saya telah menegaskan bahawa penceroboh mesti menyerah diri dan jika mereka enggan pihak berkuasa negara ini akan bertindak.
  
Sebagai negara Islam yang cintakan keamanan dan mengangkatkan perjuangan penyelesaian konflik scara perundingan, usaha kita menggelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya. Sebaliknya, anggota pasukan keselamatan kita diserang dan dibunuh, rakyat Malaysia khususnya di Sabah bimbangkan keselamatan mereka.
  
Kerajaan  mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga marurah dan kedaultan negara sebagaimana yang dituntut oleh rakyat. Pada jam 7 pagi ini pasukan keselamatan  telah melancarkan serangan di Kampung Tanduo. Malaysiakini

1.54pm: Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menasihatkan warganya agar tidak mengunjungi kawasan pantai timur Sabah, termasuk bandar Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Untuk liputan lansung sila klik Malaysiakini dan INI.

Satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat kedutaan berkenaan menyebut menjangkakan lebih banyak insiden keganasan akan berlaku di kawasan terbabit.

1.42pm: ABS-CBN melaporkan bahawa Filipina meminta pihak berkuasa Malaysia untuk membantu menyediakan perjalanan keluar yang selamat dari Sabah untuk wanita Filipina dan mereka yang bukan penceroboh bersenjata.

Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario (kanan) telah meminta rakan sejawatannya dari Malaysia untuk berbuat demikian supaya mereka dibenarkan meninggalkan kawasan pertempuan di sana.

Del Rosario juga meminta Jabatan Hal Ehwal Luar di Manila untuk menyampaikan nota kepada duta Malaysia ke Filipina untuk berhubung rayuan tersebut.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Anifah Aman berkata beliau akan menyampaikan permintaan itu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zamid Hamidi.

1.30pm: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi tiba di Felda Sahabat dengan helikopter dan diiringi ke bilik taklimat.

1.15pm: pegawai-pegawai Jabatan Penerangan mengedarkan jaket kuning terang bertulis ‘media’ kepada wartawan di pusat media.

“Ini adalah permintaan pihak polis, jadi kita mematuhinya. Ia akan lebih mudah mengenal pasti petugas media,” jelas seorang pegawai.
1.08pm: The Star dalam laporan di Twitter menyebut, Semporna diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan Ops Sulu di Tanduo.

1pm: 
Dalam satu lagi laporan pada 12.43pm, Philippine Daily Inquirer melaporkan dakwaan Azzimudie, yang mengetuai kumpulan bersenjata Sulu di Lahad Datu memberitahu jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani bahawa mereka sedang “beristirahat”.

12.50pm:
 Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata makanan disediakan untuk penduduk yang tersesar.
“Mereka ditempatkan dalam dewan… berdekatan dan kami membantu mereka. Tiada masalah makanan atau air,” katanya.

12.44pm: Laman The Philippine Inquirer menyiarkan laporan mendakwa Askar Diraja Sulu tidak bercadang untuk menyerah walau digempur pasukan keselamatan Malaysia.

Laporan itu menyebut, jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani memberitahu satu stesen radio bahawa kumpulan itu akan terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.

Idjirani yang memetik Azzimudie Kiram mendakwa bom yang dilepaskan jet Malaysia jatuh ke kawasan berkenan tetapi tidak mengenai kumpulan bersenjata Sulu.
InterAksyon.com juga menerbitkan laporan sama pada jam 10.46 pagi ini.
“Tidak. Tidak menyerah,” kata Idjirani, yang menambah Azzimudie dalam perbualan terakhir mereka melalui telefon memberitahunya bahawa mereka akan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.
Laporan itu tidak menyatakan masa panggilan telefon itu dibuat.

Idjirani juga dilaporkan berkata, mereka akan mencari jalan untuk keluar dari keadaan bahaya demi kelangsungan kumpulan itu.
“Ini hanya bermakna merka hanya takut kepada kita… Jika mereka berani, mereka tidak akan guna pasukan besar untuk mengelakkan tuduhan (bertindak) keterlaluan. Mereka menunjukkan kepada dunia bahawa apa yang mereka lakukan keterlaluan.”

11.54am: 
Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata operasi bersama antara polis dan tentera masih menerima tentangan musuh yang melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan negara.

9.11am: Difahamkan tujuh batalion tentera dikerahkan ke kawasan tersebut untuk mengukuhkan pasukan polis.

8.54am: Seorang pegawai Felda tiba dan memberitahu ketua kampung untuk membuat kiraan jumlah penduduk dan mendaftarkan mereka.  Seluruh penduduk kampung sekitar 300 orang beredar dari tempat itu menuju ke jalan kebun kelapa sawit.

8.45am: Penduduk  Kampung Sungai Merah meninggalkan kediaman mereka dengan menaiki lori, dengan hampir seratus orang memenuhi setiap kenderaan.

Ketua kampung, Bani Rauf berkata mereka telah cuba ke Kampung Embara Budi tetapi tidak dibenarkan masuk.

“Pengawal kata mereka tidak akan benarkan kami masuk, jadi kami datang ke sini,” katanya.

Mereka berhimpun di di jalan utama dari Kampung Tandou menunggu apa yang perlu dilakukan selepas ini.

8.19am Pasukan keselamatan telah melancarkan serangan ke atas kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada jam 7 pagi ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini.

8:18am: Letupan kedengaran berhampiran Kampung Tandou yang diduduki sekumpulan penceroboh asing, pada kira-kira jam 7:30 pagi ini, menyebabkan 100 penduduk kampung melarikan diri.

“Mereka telah  mula mengebom kawasan itu. Kami nampak jet pejuang di udara, mereka mengebom tempat itu empat kali,” kata seorang penduduk kampung, Nasir Asrama, 38.

Penduduk kampung tersebut adalah dari Kampung Sungai Merah, sebuah kampung jiran dengan Kampung Tandou di mana kira-kira 100 penceroboh bersenjara dari Filipina berkubu.

Kampung Tandou terletak di antara Tanjung Labian dan Kampung Sungai Merah, masing-masing dalam 5km dan 2km.