Seorang anggota tentera Malaysia terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dengan anggota ‘tentera diraja Sulu’ di Sungai Nyamuk di Lahad Datu pagi ini.


Manakala lewat petang ini, diumumkan bahawa seorang lagi anggota tentera meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Lahad Datu.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zain berkata, pasukan keselamatan bertembung dengan lima anggota 
penceroboh pada jam 7.45 pagi ini ketika melakukan operasi pembersihan di kawasan sekitar Sungai Nyamuk, dekat Tanjung Batu.

Zulkifeli (kiri) berkata penceroboh berundur ke bahagian atas Sungai Nyamuk dan anggota mengekori mereka dan diikuti dengan pertempuran pada kira-kira jam 10.45 pagi.
Dalam pertempuran itu, katanya pasukan keselamatan membunuh tiga penceroboh, tetapi malangnya, seorang anggota pasukan keselamatan turut dibunuh.

Bercakap dalam satu sidang akhbar lewat petang ini, Zulkifeli berkata ini adalah korban pertama yang dialami pasukan keselamatan Malaysia sejak Ops Daulat dilancarkan pada 5 Mac.
Bagaimanapun, bercakap dalam satu sidang akhbar lewat malam ini, Ketua Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata dua penceroboh telah ditembak mati kerana pasukan keselamatan hanya menemui dua mayat.

Apabila ditanya mengenai kenyataan Zulkifeli sebelum ini, Hamza menjawab: “Tidak, saya tidak menafikan ia, mungkin beliau mendapat laporan awal, mungkin bilangan musuh yang ditembak tiga, tetapi hanya dua mayat ditemui.”

Katanya, mungkin seorang lagi penceroboh mengalami kecederaan dan menyelamatkan dirinya (dan melarikan diri),” katanya.

Menurutnya lagi, pertempuran yang berlaku antara jam 9 pagi hingga 1.50 tengahari, di mana seorang anggota tentera cedera.

Hamza berkata, seorang lagi anggota tentera meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, apabila dia “hilang kawalan” ke atas trak tentera ketika dalam perjalanan pulang dari pekan Lahad Datu ke Cenderawasih.

Menurutnya, anggota tentera itu cedera parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Manakala seoran glagi anggota tentera dalam trak tersebut cedera di pipinya.

Sementara itu mengikut laporan Bernama, berikut adalah senarai anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh militan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah:   

  • 1 Mac 2013 – ASP Zulkifli Mamat, 29, dari Pasukan Polis Komando VAT 69.   
  • 1 Mac 2013 –  Sjn Sabaruddin Daud, 46, dari Pasukan Komando VAT 69.   
  • 2 Mac 2013 –  ACP Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman.   
  • 2 Mac 2013 – ASP Michael Padel, 36, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.   
  • 2 Mac 2013 –  Sjn Abdul Azis Sarikon, 48, dari Pasukan Gerakan Am Tawau.   
  • 2 Mac 2013 – L/Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, dari Pasukan Gerakan Am Tawau.   
  • 2 Mac 2013 – Sjn Detektif Baharin Hamit, 49, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
  • 2 Mac 2013 – Kpl Salam Tugiran, 42, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.   
  • 12 Mac 2013 – Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dari Batalion 7 RAMD Tawau.
Sumber Malaysiakini
Laporan akhbar tempatan hari ini mendakwa seramai 30 orang penceroboh Sulu terbunuh dalam serangan besar-besaran melalui Ops Sulu, yang kemudiannya dinamakan Ops Daulat, di pantai timur Sabah semalam.

“Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan pengganas Sulu yang berjaya ditumpaskan ATM dan PDRM sehingga kini ialah 49 orang, manakala di pihak anggota keselamatan negara tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dalam operasi itu,” laporan Utusan Malaysia dipetik.

Laporan yang tidak menyatakan sumber maklumat itu juga menyebut, terdapat “khabar” yang menyatakan pemimpin kumpulan berkenaan Raja Muda Azzumudie terbunuh namun perkara itu tidak disahkan.

Sementara itu laporan akhbar Berita Harian pula yang memetik sumber mendakwa pasukan keselamatan, yang menjalankan operasi pembersihan selepas pengeboman semalam, menjumpai antara 20 hingga 30 mayat musuh.

Sementara itu, akhbar The Star pula hari ini melaporkan pasukan tentera memindahkan penduduk dari dua buah kampung berdekatan – Kampung Labian dan Kampung Batu.

Penduduk tempatan sebelum ini mendakwa kumpulan penceroboh memasuki kawasan tersebut dan menawan penduduk.


Pasukan keselamatan, setakat malam tadi, masih belum menyatakan jumlah rasmi yang ditemui dalam operasi besar-besaran diketuai pasukan polis. Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar hari ini pula sekadar menyebut bahawa seorang penceroboh dipercayai maut selepas berbalas tembak dalam kawasan operasi pada kira-kira jam 6.45 pagi ini.


“Dengan situasi semasa ini pasukan keselamatan telah memperluaskan kawasan operasi sehingga melebihi 4 kilometer persegi sepertimana yang telah dinyatakan semalam,” kenyataannya dipetik.
Ismail juga tidak memberi sebarang pengesahan mengenai status Azzumudie Kiram, yang dilaporkan terbunuh dalam operasi semalam. Laporan mengenai kematian Azzimudie itu dinafikan media Filipina yang memetik kenyataan jurucakap kesultanan Sulu.
Menurut InterAksyon.com, portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5, jurucakap kesultanan Abraham Idjirani telah bercakap dengan Azzimudie melalui telefon di hadapan pemberita semasa taklimat media di Manila petang semalam.
Lapan buah pesawat tentera Malaysia semalam dilaporkan menggugurkan sekurang-kurangnya enam bom pemusnah di kawasan yang didakwa diduduki Azzimudie dan pengikutnya di Kampung Tanduo. Malaysiakini